Cinta itu subjektif


ANDAI ditanya kepada 10 orang lelaki dan 10 orang wanita akan makna cinta buat diri mereka, pasti jawapannya yang diperolehi adalah 20 jawapan yang berbeza dan antara jawapan yang popular adalah, “Cinta itu subjektif.”

Benarkan begitu?

Benarkah cinta itu subjektif dan bukan bersifat objektif?

Ya, kita akui makna kepada cinta sudah dikaburi dan dikelabui dengan pelbagai anasir dan mehnah semasa yang terus membawa kemuliaan dan keindahan cinta daripada makna sebenarnya.

Dalam al-Quran ada menyebut mengenai limitasi cinta yang membebat minda dan nubari umat manusia keseluruhannya. Allah nyatakan manusia sengaja diciptakan oleh-Nya dengan sifat itu.

Secara literal dapat kita fahami bahawa Allah memang sengaja mencipta fitrah kecintaan yang disukai oleh nafsu iaitu:

1. Perempuan

2. Anak-pinak

3. Harta benda yang banyak daripada emas dan perak

4. Kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak

5. Kebun-kebun tanaman.

Nampaknya kesemua kriteria tersebut boleh dikiaskan dan dinisbahkan dengan kitaran hidup kebanyakan manusia pada hari ini yang;

Apabila sudah dewasa dan matang (kadang-kadang tidak cukup dewasa dan matang sekalipun), atau hari ini pengukurnya adalah setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda dan mula bekerja, rasa ingin berteman atau lebih spesifik mencintai dan dicintai oleh pasangan masing-masing sehingga bekahwin.

Kemudian keinginan memiliki zuriat untuk mencintai dan dicintai bagi melengkapkan kehidupan sebagai sebuah keluarga. Pastinya mahu mengumpul sebanyak yang termampu harta benda sebagai tuntutan perjalanan kewangan semasa dan masa depan kemudian memiliki kenderaan yang selesa dan mempunyai rumah atau kawasan sendiri yang mempunyai kawasan dan permandangan mendamaikan.

Kemudian Allah nyatakan pada akhir ayat tersebut, “Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), di sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”

Mesej yang jelas dan padu daripada Allah buat hamba-Nya bahawa ada kecintaan yang lebih besar perlu dikejar kerana kecintaan tersebut punya nilai yang besar di sisi-Nya malah menjamin hamba-Nya itu ke syurga abadi.

Rumusannya adalah, Allah memberikan kriteria yakni hanya kecintaan yang akhirnya membawa manusia kembali kepada-Nya sahaja akan dijamin syurga abadi di akhirat kelak. Bermaksud, kecintaan yang tidak membawa kepada Allah akan mendapat natijah sebaliknya. Justeru, setiap kecintaan kepada perempuan, anak-pinak, harta benda, kenderaan dan kebun tanah sendiri perlu membawa di pencinta kepada Allah bukan sebaliknya.

p/s ; masih adakah cinta untuk ku...dimana  khalifahku...
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme